Thursday, February 20, 2025

 Jika kita meneliti kesinambungan ayat-ayat awal surah al-Baqarah, kita dapat melihat bahawa sebelum Allah menyebut tentang manusia sebagai khalifah (ayat 30), al-Quran terlebih dahulu membentangkan realiti keadaan manusia dari segi keimanan dan kedurhakaan.

1. Ayat 2-5 – Allah menjelaskan bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi orang yang bertakwa, iaitu mereka yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat, menafkahkan rezeki, serta yakin dengan kehidupan akhirat.

2. Ayat 6-7 – Allah kemudian menyebut tentang golongan yang kafir, yang hati mereka telah tertutup daripada menerima kebenaran.

3. Ayat 8-16 – Dinyatakan pula golongan munafik yang berpura-pura beriman tetapi sebenarnya merosakkan agama dan masyarakat.

4. Ayat 17-27 – Allah juga menggambarkan akibat keingkaran manusia, termasuk mereka yang merombak perjanjian Allah, memutuskan hubungan kekeluargaan, dan melakukan kerosakan di bumi.

5.  Kemudian Allah menyebut pula dalam ayat 30 'Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi'.   

Saya melihat ayat-ayat 6-27 al-Baqarah itu sebagai isu dan masalah manusia. Selain daripada manusia yang bertakwa (ayat 2-5) itu ialah manusia yang digelar kafir dan munafik. Kesan dan akibatnya seperti yang disebut oleh ayat 17-27 itu. 

Apabila Allah menyebut dalam ayat 30 al-Baqarah itu, menunjukkan cara hendak menyelesaikan isu dan masalah tersebut itu ialah dengan menjadi khalifah. Ertinya dengan menjadikan diri sebagai seorang khalifah maka manusia akan terhindar dari masalah-masalah merombak perjanjian Allah, memutuskan hubungan kekeluargaan, dan melakukan kerosakan di bumi.

Ini menunjukkan bahawa khalifah bukan hanya satu gelaran, tetapi satu peranan aktif dalam membina kehidupan berdasarkan iman dan kebaikan. Dengan kata lain, kekhalifahan adalah satu konsep yang boleh dilihat sebagai tujuan hidup seorang Muslim. Ianya akan merungkai segala masalah:

1. Menegakkan iman dan petunjuk Allah – Seperti yang disebut dalam ayat 2-5, seorang khalifah mesti hidup berpandukan wahyu dan menjadikan dirinya serta masyarakatnya sebagai umat yang bertakwa.

2. Mengatasi keingkaran dan kemunafikan – Dalam ayat 6-16, golongan kafir dan munafik disebut sebagai perosak, maka peranan khalifah ialah menegakkan kebenaran dan menyingkirkan kepalsuan.

3. Menjaga perjanjian dengan Allah dan hubungan sesama manusia – Dalam ayat 27, Allah mencela mereka yang memutuskan perjanjian dengan-Nya dan merosakkan hubungan kekeluargaan. Khalifah bertanggungjawab mengekalkan nilai-nilai ini dalam kehidupan.

4. Mengelola bumi dengan adil dan bijaksana – Ayat 29 menegaskan bahawa Allah menciptakan segala di bumi untuk manusia. Maka, tugas khalifah ialah mengurus dunia ini dengan penuh amanah, bukan untuk dirosakkan.

Dengan kata lain kekhalifahan adalah jawapan kepada masalah-masalah yang disebut oleh Allah dalam al-Baqarah 2-30, dan ini menjadikan konsep khalifah sebagai kunci memahami tujuan hidup Islam.

Jadi dapat disimpulkan bahawa peranan khalifah adalah antara tujuan hidup seseorang Muslim, kerana ia bukan sekadar status, tetapi tanggung jawab utama dalam kehidupan

Berdasarkan susunan ini, menunjukkan bahawa konsep manusia sebagai khalifah adalah jawapan kepada masalah-masalah keimanan dan kedurhakaan yang disebut dalam ayat-ayat sebelumnya. Allah menjadikan manusia sebagai khalifah bukan sekadar untuk mentadbir bumi secara fizikal, tetapi juga untuk menegakkan sistem kehidupan yang berdasarkan iman dan petunjuk Ilahi.

Siapakah dia khalifah itu? 

Cuba tonton di Youtube: buka app Youtube, dan masukkan mola70s di ruang search. Berilah sedikit komen, buat saya memperbaiki kelemahan-kelemah yang ada.

Dari satu sudut lain, saya melihat kesinambungan ayat-ayat 2-30 itu sebagai asas bagi memahami Islam. Dengan kata lain keseluruhan kandungan al-Quran yang selebihnya adalah merupakan penjelasan-penjelasan, tema-tema bagi ayat-ayat 2-30 itu. Ertinya bermula dari ayat 31 al-Baqarah hingga ayat terakhir al-Quran itu adalah penjelasan bagi persoalan-persoalan seperti siapakah aku, dari mana aku datang, apa yang aku lakukan di sini, dan ke mana aku akan pergi dari sini itu.

No comments:

Post a Comment

Profile Islam Rasulullah saw: Di akhir zaman umat Islam berpecah kepada 73 hanya...

Profile Islam Rasulullah saw: Di akhir zaman umat Islam berpecah kepada 73 hanya... : Di akhir zaman umat Islam berpecah kepada 73 hanya 1 y...